Ikuti kisah terperinci hasil tinjauan kru Penyingkap Fakta di pelbagai lokasi menggerunkan masyarakat. ... lokasi didakwa berlaku pelbagai kejadian aneh atau penampakan entiti paranormal. Kami melangkah bersama, mengharung onak, duri dan sembilu , mendokumentasikan kenangan pahit manis namun disatukan oleh minat sama. Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

MISTERI LELAKI DI MAKAM


Kira-kira jam 10 malam tadi, kru Penyingkap Fakta, PF, berkumpul di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Sekian lama tidak berpeluang membuat tinjauan, semua kelihatan bersemangat dan ceria.

Keakraban antara kru, tidak dapat disangkal setelah bertahun bersama.






Jam 11 malam, lapan kru bergerak menuju ke lokasi tinjauan di Banting, mengambil masa lebih kurang sejam perjalanan berkenderaan.




Sebaik tiba di lokasi, semua peralatan elektronik dikeluarkan dari dalam kenderaan dan kami mula berjalan masuk ke dalam kawasan hutan berhampiran. 



Tinjauan awal ke sasaran dilakukan oleh kru, Zulfadhli Md Zauki.

"Sumber, penduduk tempatan saya temui petang tadi mendakwa, kawasan sekitar makam lama itu dilaporkan 'keras' dan saya telah bertemu dan mendapatkan kebenaran waris untuk kita bersama menjalankan tinjauan di situ. Semoga kita dapat menyingkap fakta sebenar," lapornya.

Sebaik tiba di lokasi, gelap gelita, kira-kira 100 meter dari jalanraya bertar, semua kru mula aktif merakamkan gambar. Tanpa berlengah, Atoi dan Farid memasang kamera infrared perakam pergerakan.  

Tatkala itu jam tangan menunjukkan pukul 12.30 malam.


Cuaca amat tenang, hening dan dari celah daunan pokok besar, langit kelihatan cerah.

Namun tiba-tiba terdengar bunyi angin bertiup kuat tetapi hanya di satu lokasi berhampiran makan terbabit. Kejadian itu dsedari oleh majoriti kru tetapi tiada antara mereka bersuara. Dahan dan ranting beberapa pokok bergoyang, peliknya pokok lain di lokasi sama tidak langsung bergerak.

Tiupan angin itu berlaku dalam tempoh singkat, kira-kira 10 saat sebelum reda. Saya sempat merekodkan gambar di sekitar ketika itu.


Kejadian terbabit secara spontan mengingatkan saya kepada kisah diceritakan sendiri oleh sahabat wartawan, Zakiah Anas sewaktu beliau membuat liputan program 999 di sebuah rumah kampung di Pahang. Lokasi jenazah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang, Datuk Mazlan Idris dikerat 18 bahagian dan kemudian ditanam oleh penjenayah, Mona Fendi, suami dan pembantu mereka di penjuru rumah sekitar tahun 1993.


"Masa sampai di rumah itu bersama pegawai dan anggota polis, melakukan kunjungan semula, suasana di sekelling tenang.  Tatkala saya berdiri berhampiran pintu masuk rumah uzur itu, tiba-tiba sahaja angin bertiup kencang sehingga menggoyangkan dahan pokok berhampiran, banyak daun jatuh berterbangan. Hairannya, ribut kecil dalam beberapa saat itu hanya berlaku di satu kawasan sahaja dan kejadian terbabit dianggap ganjil sekaligus membuat kami semua tergamam dan berasa seram," ujar Zakiah.

Barangkali, kedua kejadian itu berlaku secara kebetulan. Gambar di sekitar makam, saya rakamkan ketika angin bertiup kuat tidak menampakkan tanda keganjilan. 

"Ada orang datang," bisik Suhaimi.

Semua mata tertumpu ke arah jalan masuk ke arah makam. Salam diberikan oleh individu itu, kami sambut.


Kami kemudian berbual di dalam gelap malam bersamanya.

"Sejak tiga tahun lalu saya memang kerap datang ke makan di sekitar ini," ujar ayah dua anak itu.

"Tujuannya?," soal saya.

"Untuk menguji keberanian diri. Itu sahaja tujuan saya. Setiap kali datang ke sini seorang diri selepas waktu tengah malam, saya sukakan suasana tenang. Kalau bernasib baik mungkin mendapat 'petanda' kehadiran entiti paranormal di kawasan ini. Contohnya, angin bertiup kencang secara tiba-tiba sedangkan suasana di sekeliling pada awalnya tenang," ujarnya bersahaja sambil menggenggam tasbih.

Rumah penternak kambing berusia 46 tahun itu, terletak kira-kira 10 kilometer dari lokasi kami berada.


Hujan tiba-tiba turun lebat dan kami bergerak ke wakaf berhampiran.


"Mengikut hari pilihan sendiri, ramai orang datang ke kawasan ini  samada siang atau malam dengan pelbagai tujuan. Kalau ada masa, di lain kali, saya boleh membantu membawa kru ke lokasi lebih menarik untuk merakamkan gambar, bekas tinggalan istana lama berhampiran makam kita ziarahi tadi, agak tersorok kedudukannya, di dalam hutan," tambah lelaki misteri berketurunan Jawa itu tenang.

Bagaikan orang mengantuk disorong bantal, semua kru PF bersetuju untuk kembali semula ke lokasi sama dalam jangka waktu terdekat. Banyak tugasan belum diselesaikan lagi. Jika pembaca berminat untuk mengikuti tinjauan bersama kami, sila hubungi kru, Shahrul di talian 019 270 9061. Bayaran berpatutan dikenakan.

Setelah didaftarkan secara sah dengan SSM, PF kini menawarkan pelbagai khidmat kepada masyarakat Malaysia, klik di sini.

1 Komen :

Unknown berkata...

assalam bang..saya najib dari team lenza paranormal..kalau x silap saya lokasi ni berhampiran dgn makam sultan selangor kan? sewaktu kami ke sana ada juga perasaan yg sama seperti yg di alami krew abang..contoh seperti di baling batu dan dahan bergoyang..tetapi apabila kami memberanikan diri untuk dekat dengan dahan tersebut mmg tiada apa2 di atas dahan tersebut..bau wangian juga muncul di kawasan sekitar makam sultan selangor..wallahualam